EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau melihat peserta menjahit langsir menggunakan mesin yang disumbangkan dalam program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Daerah Hulu Langat di kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Bangi pada 11 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Program blueprint basmi kemiskinan bantu 2,642 peserta sejak 2016

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM10 juta bagi membantu 2,642 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meluaskan perniagaan sejak 2016.

EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata bantuan meliputi mesin dan alatan niaga perlu dimohon melalui pejabat daerah dan tanah (PDT).

“Bagi daerah Hulu Langat sahaja, seramai 212 orang lulus permohonan dengan peruntukan sebanyak RM902,450,” kata V Ganabatirau dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi yang meminta perincian jumlah penerima bantuan diberikan mengikut Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Ganabatirau menjelaskan tiada perincian peserta berikutan permohonan dibuat melalui PDT termasuk perolehan pembelian alatan.

“Program dibuat mengikut daerah dengan borang permohonan perlu dikemukakan kepada pihak berkenaan untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke mesyuarat jawatankuasa pemilihan,” katanya.


Pengarang :