Rashwin Ramaselvan mengusahakan kedai mencuci kereta di Taman Sri Putra, Banting, Kuala Langat
RENCANAWAWANCARA

Program usahawan negeri bantu peniaga India jana pendapatan

Kemeriahan sambutan Deepavali pastinya menceriakan masyarakat India, lebih-lebih lagi perayaan kali ini disambut dengan banyak kelonggaran berbanding tahun sebelumnya.

Lebih teruja tentunya usahawan yang menikmati kemajuan perniagaan menerusi Selangor Inthiyar Thozhil Arvalar Maiyam (Sitham) atau Program Pembangunan Usahawan India Selangor.

Wartawan Nazli Ibrahim menyelami jatuh bangun lima usahawan sebelum mendapat manfaat dan laba daripada program tersebut.

Termengah-mengah Rashwin Ramaselvan untuk menyudahkan basuhan kereta pelanggan. Lepas satu, sebuah kereta lagi datang. Tak tercapai kudratnya memenuhi permintaan tiap pelanggan.

Namun, sejak memiliki peralatan cuci kenderaan antaranya alat semburan dan generator pengepam air, keupayaan beliau untuk mencuci banyak kereta meningkat drastik. Bahkan jauh lebih cepat.

Sekurang-kurangnya puluhan kereta datang ke kedainya saban hari. Perkhidmatan yang dimulakan pada 2019 di Taman Sri Putra, Banting, Kuala Langat memudahkan penduduk setempat membersihkan kenderaan. Apatah lagi, cuciannya bersih lagi berkilat serta pantas.

Rashwin yang berusia 26 tahun mendapat bantuan untuk memiliki peralatan mencuci kereta menerusi program Sitham. Ini sekaligus meningkatkan kecekapan perkhidmatan beliau.

Selain itu, beliau juga memperoleh bantuan dua mesin penyedut hampagas berkuasa tinggi untuk kerja pembersihan dalaman dan pembersih kusyen, kompresor serta mesin pengilat.

“Bantuan itu memberi makna besar kepada saya kerana kalau hendak beli sendiri memang agak mahal, semuanya dianggar bernilai RM3,800. Sudah tentu saya terpaksa kumpul modal untuk tempoh agak lama,” kata Rashwin kepada Selangorkini.

Justeru, beliau menambah segmen perkhidmatan iaitu mencuci kusyen dan mengilatkan kereta. Sejak mendapat bantuan itu, pendapatan perniagaannya juga bertambah kira-kira 20 hingga 30 peratus sebulan.

Tahun ini, anak muda itu banyak membantu menampung perbelanjaan keluarganya menjelang sambutan Deepavali. Rashwin juga menyimpan harapan untuk menyediakan beberapa mesin dan peralatan tambahan supaya lebih banyak perkhidmatan dapat ditawarkan.

Moganarubini Panirselvam

Pendapatan meningkat

Moganarubini Panirselvam yang menjalankan perniagaan membekal air minuman ke pejabat dan kediaman sekitar Lembah Klang juga antara peserta Sitham yang berjaya.

Wanita berusia 36 tahun itu mula berniaga pada 2012. Sungguhpun perkhidmatannya berpotensi besar untuk dikembangkan, beliau berdepan kesukaran untuk meluaskan pasaran.

Membekal air minuman dalam balang gelen 19 liter ke pejabat dan kediaman selain menyediakan perkhidmatan menukar penapis air rumah ke rumah, pemilik syarikat Ruby Water Enterprise buntu mencari kaedah untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan.

Namun, Moganarubini lega apabila mendapat pinjaman Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi membiayai kempen pengiklanan menerusi media sosial. Pinjaman Hijrah digunakan untuk menggaji seorang pekerja mahir khusus untuk mempromosi dan mengendali semua akaun media sosial perniagaannya.

“Mahu urus sendiri pengiklanan dalam talian memang susah. Saya tidak pandai semua ini tetapi selepas saya gajikan pekerja mahir, pelanggan semakin tahu perniagaan saya,” katanya.

Sejak itu, pendapatan perniagaannya meningkat. Ini mendorong beliau meningkatkan pengeluaran daripada 600 gelen kepada 1,500 gelen air minuman sehari. Bagi melancarkan lagi operasi, beliau turut menyertai program Sitham.

Melalui program tersebut, beliau memperoleh komputer riba dan komputer meja bagi melancarkan
kerja pengiklanan selain memperkemas akaun syarikat dan urusan dokumentasi.

“Dengan bantuan komputer riba dan komputer meja melalui Sitham memudahkan lagi untuk membuat
iklan berbanding melalui telefon pintar sahaja,” katanya.

Kesan peningkatan pelanggan, perniagaannya kini dikembangkan dengan menjalankan operasi
pengeluaran di sebuah kilang di Rawang menggunakan mesin penapis berkuasa tinggi.

Rajeswari Mokan

Tempahan siap segera

Usahawan jahitan Rajeswari Mokan pula tidak menang tangan dalam mengambil tempahan membuat pakaian tradisi India sejak memulakan perniagaan pada lapan tahun lalu. Pakaian yang banyak mendapat tempahan antaranya sari, skirt, blaus dan pakaian tradisi Punjabi.

Masakan tidak, ibu tiga anak hanya menggunakan mesin jahit jenis lama. Tempahan pula bertambah saban tahun khususnya menjelang perayaan Deepavali.

Sedikit sebanyak kekangan itu menjejaskan perniagaan yang diusahakan di rumahnya di Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor. Hasrat menambah pendapatan keluarga juga terbantut dek mesin jahit usang. Beliau memerlukan mesin baharu berkeupayaan tinggi.

Melalui bantuan Sitham, Rajeswari memperoleh mesin jahit automatik elektrik baharu. Sejak itu, beliau mampu menyiapkan dua hingga tiga helai baju sehari
berbanding sehelai sebelumnya.

“Dulu hendak siapkan satu tempahan memang agak ambil masa sikit tetapi sekarang lebih cepat dan pelanggan juga puas hati kerana tidak perlu tunggu terlalu lama.

“Saya harap selepas ini saya mampu memiliki mesin jahit automatik lebih besar supaya dapat
mempelbagaikan jenis jahitan dan lebih cepat,” kata Rajeswari.

Muganeswari Karupiah

Bagi Muganeswari Karupiah pula, beliau menceburkan diri dalam perniagaan untuk membantu suami. Ketika mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan pada 2019, beliau membuka perniagaan menjual madu.

Beliau juga menceburi bidang yang diminatinya iaitu dandanan rambut. Berbekal peralatan ala kadar, beliau menyediakan perkhidmatan menggunting rambut dari rumah ke rumah sekitar Batu 14, Puchong sejak tahun ini.

Namun, kekurangan peralatan dan kemahiran mengehadkan potensi wanita berumur 41 tahun itu untuk menjana lebih banyak pendapatan.

Justeru, Muganeswari mengikuti kursus kemahiran dan pembuatan anjuran Sitham bagi meningkatkan
kecekapannya. Malah, beliau turut diberi bantuan set peralatan dandanan lengkap selepas tamat kursus.

Berbekal ilmu itu, juga peralatan tersebut, beliau kini bukan sahaja dapat meneruskan perkhidmatan
rumah ke rumah, bahkan menyediakan perkhidmatan mencuci rambut.

Berbanding sebelumnya, ibu tiga orang anak itu menjana pendapatan sampingan sekitar RM600 sebulan
dan kini mencecah lebih RM1,000.

“Saya harap suatu hari nanti saya dapat belajar lebih banyak teknik menggunting rambut mengikut fesyen yang dimahukan pelanggan,” katanya.

Melvin Dinish Gurubatham

Percaya diri

Sitham juga banyak mengubah tahap keyakinan diri terhadap Melvin Dinish Gurubatham. Beliau yang mengambil upah memberi perkhidmatan mengimpal mengakui tidak tahu langsung teknik kimpalan.

Namun, dorongan kuat untuk menambah pendapatan membawa anak muda berusia 25 tahun mengikuti kursus kemahiran dan pembuatan disediakan Sitham.

“Saya memang kosong pengetahuan. Tidak pernah sekali pun buat kerja mengimpal. Saya hanya tahu mengimpal selepas sertai kursus untuk peserta Sitham selama lebih kurang sebulan,” katanya.

Selepas tamat kursus, beliau yang masih bekerja sebagai pekerja am di syarikat menyewa kanopi, diberi bantuan set peralatan untuk memulakan perniagaan sampingan di rumahnya di Pelabuhan Klang. Melvin Dinish juga mengambil upah mengimpal di rumah pelanggan.

Sitham dilancarkan pada 2019 bermatlamat menaik taraf kehidupan dan ekonomi menerusi janaan pendapatan melalui kemahiran sendiri.

Program itu menyediakan geran dan peralatan perniagaan melahirkan ramai usahawan mikro masyarakat India yang berkemahiran.

Sitham terdiri daripada latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan atau Grow dan geran bantuan peralatan perniagaan.

Melalui latihan disediakan memudahkan usahawan mempelajari teknik menambah jualan, memahami keperluan terkini dalam perniagaan seperti pengurusan perniagaan, pemasaran dalam talian, peluang pinjaman, permohonan perlesenan dan pendaftaran syarikat.

Kursus kemahiran dan pembuatan kursus jangka pendek memberi latihan kepada peserta juga disediakan.

Grow pula program latihan minimum tiga bulan, pakej latihan kemahiran dan bantuan alatan kendalian syarikat peneraju yang dilantik.

Bantuan peralatan juga disediakan kepada peniaga yang memulakan perniagaan sekurangkurangnya enam bulan dengan nilai had maksimum sebanyak RM10,000.


Pengarang :