Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) mengedarkan pek sarapan pagi kepada pelajar dan ibu bapa di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin, Klang pada 30 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pupuk kesedaran gaya hidup sihat, sukarelawan kesihatan dapat sambutan

SHAH ALAM, 10 NOV: Seramai 1,878 individu menyertai Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor (Suka) sejak dilancarkan Ogos lalu, kata EXCO Kesihatan Awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan masih dibuka kepada orang ramai yang berminat dengan berdaftar di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran kawasan masing-masing.

“Setakat ini sambutan amat menggalakkan, semakin ramai ada kesedaran mahu melakukan kerja amal berkait aktiviti kesihatan awam tanpa menerima bayaran.

“Kita mengalu-alukan golongan berminat menyertai Suka meskipun tidak memiliki latar belakang bidang perubatan kerana mereka akan diberi kursus dan latihan bersesuaian bertemakan Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 5 Ogos, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1.2 juta bagi menubuhkan Suka untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

Penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan. Sukarelawan terpilih akan dilatih sebelum digerakkan ke seluruh 56 DUN di negeri ini.

Selangor melancarkan beberapa program bagi menjamin kesihatan penduduk terutama ketika penularan Covid-19.

Antaranya penubuhan Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor, program Saringan Komuniti dan Vaksin Selangor serta penyediaan kit ujian kendiri percuma.


Pengarang :