Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai semasa membeli barangan keperluan ketika tinjauan di Kuala Lumpur pada 25 Julai 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Putrajaya perlu SOP jelas, konsisten menuju fasa endemik

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan persekutuan perlu menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang jelas dan konsisten sebagai persediaan negara ke arah endemik.

Langkah itu juga bagi mendidik rakyat untuk hidup bersama Covid-19 dan kembali kepada kehidupan sebelumnya mengikut norma baharu, kata EXCO kerajaan tempatan.

“Kita harus memastikan rakyat bersedia dan benar-benar faham apa itu endemik dan bagaimana untuk mengatasinya jika mereka ada sebarang simptom.

“SOP sekarang agak ketat dan ia sebenarnya masih dalam fasa pandemik bukan endemik,” kata Ng Sze Han dalam Bual Bicara #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik di Facebook Media Selangor malam ini.

Mengulas Belanjawan Selangor 2022, beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat di samping membantu mereka bangkit semula pascawabak.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor pada 26 November
menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19 reda.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor serta portal.

Maklumat pantas dan infografik isi menarik pula dimuatkan di media sosial dengan tanda #Selangor2022.

 


Pengarang :