Selangorkini
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menandatangani bola sebagai gimik pelancaran Liga Super Wanita FAS di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November 2021. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Raja Muda Selangor rasmi Liga Super Wanita FAS

PETALING JAYA, 20 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Liga Super Wanita yang membuka tirainya pada 29 November.

Baginda turut menyaksikan cabutan undian kumpulan membabitkan 10 pasukan bertanding dalam acara anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Setiausaha agung FAS berkata kejohanan julung kali itu menyediakan platform kepada wanita untuk bermain bola sepak pada peringkat kompetitif.

Jelas Izrin Nabil, pihaknya juga mahu pemain dan pengadil wanita bermain dalam suasana selamat dan mengelak pandangan negatif segelintir pihak.

“Pada masa depan, FAS merancang untuk menganjurkan kejohanan sama untuk pemain wanita berusia 16 dan 12 tahun ke bawah,” katanya berucap pada majlis itu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini.

Dalam cabutan undian, FC Swat, UiTM FC, First 11 FC, The Footsouls dan Radia Ladies berada dalam kumpulan A manakala kumpulan B membabitkan Leopard FC, MBSJ FC, SA United, Ryhm Rovers dan NSWFC.

Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati dan perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya pada hujung Januari.


Pengarang :