Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor (tengah) Azrul Shah Mohamad bersama rakan kerjasama dan penaja selepas sidang media Kejohanan Golf edisi ketiga di Kelab Golf Bukit Beruntung, Rawang pada 2 November 2021. Foto Tourism Selangor
AGENDASUKANKINI

Rancak pelancongan sukan, 120 peserta bakal sertai kejohanan golf Tourism Selangor

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 120 peserta bakal menyertai kejohanan golf anjuran Tourism Selangor di Kelab Golf Bukit Beruntung, Rawang pada 12 Disember depan.

Kejohanan edisi ketiga itu membabitkan penyertaan wakil sektor kerajaan dan swasta, selebriti, ekspatriat, ejen pelancongan serta pemain golf domestik, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Azrul Shah Mohamad memaklumkan kejohanan itu bukan saja mempromosi sukan golf yang terjejas akibat pandemik Covid-19, sebaliknya merancakkan kembali sektor pelancongan sukan.

“Kejohanan ini menjadi pemangkin ke arah mencipta perkara besar pada masa akan datang antara pemain dan rakan penaja.

“Kita juga memberi jaminan sukan ini selamat untuk diteruskan kerana semua kelab golf mengutamakan tatacara operasi piawai (SOP),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah badan pelancongan negeri itu tekad menjadikan sukan golf sebagai sektor pelancongan terpenting berikutan Selangor memiliki 29 kelab golf bertaraf antarabangsa.

“Bukan sukar untuk menembusi segmen pelancongan golf kerana Selangor  menjadi negeri dengan kelab golf tertinggi dalam negara.

“Ini selaras dengan Kempen Pelancongan ‘Pusing Selangor Dulu’ yang semakin popular dalam kalangan pelancong domestik dan di media sosial,” katanya.

Penganjuran kali ini mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Persatuan Golf Malaysia dan KDEB Waste Management.

Rakan penaja antaranya Westport Malaysia Berhad, Northport Malaysia Berhad, Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Srixon, Titoni of Switzerland, Liquid Marketing Sdn Bhd, Farm in the City, Puas Snack Pack, Liberty Golf Services dan The ClubHouse.


Pengarang :