BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Rasai pengalaman di desa, program Hos Komuniti janji kelainan

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 21 NOV: Selain daripada destinasi pelancongan yang sering dikunjungi seperti pantai, hutan rimba dan taman tema, ada lagi yang menarik di Selangor untuk diterokai.

Selaras kempen Pusing Selangor Dulu, program Hos Komuniti antara yang mencuri tumpuan untuk memnuhi aktiviti percutian dua hari malam anda bersama keluarga.

Daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara dua lokasi yang memberikan anda pengalaman luar biasa, jauh dari rutin harian di kota. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk merasai sendiri pengalaman di desa. Tourism Selangor menyenaraikan aktiviti yang boleh anda lakukan.

Hari Pertama di Pasir Penambang, Kuala Selangor
5:00 PM – Terokai Hutan Paya Bakau di Sepanjang Tebing Sungai
5:30 PM – Aktiviti Memerhati Burung Helang
6:00 PM – Pengalaman Menangkap Kerang
6:30 PM – Pengalaman Memancing Menggunakan Jaring

Hari Kedua di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam

11:00 AM – Pelajari Kaedah Mengekstrak Kelapa
12:00 PM – Pelajari Pembuatan Kuih Onde-Onde
3:00 PM – Ketahui Cara Menangkap Ikan Menggunakan Buluh
5:30 PM – Santai Sambil Menikmati Wadai Kepeng

 

1. Terokai hutan paya bakau sepanjang tebing sungai

Bermula di Pasir Penambang, anda akan menikmati pengalaman menaiki bot nelayan kayu tradisional. Di
samping itu, anda boleh menerokai hutan paya bakau di sepanjang tebing sungai.

2. Aktiviti memerhati burung helang

Aktiviti memerhati burung helang dianggap sangat memuaskan sekali gus perasaan yang penuh kegembiraan. Cuba aktiviti memerhati burung yang kini menjadi daya tarikan untuk program hos komuniti di Pasir Penambang.

3. Pengalaman menangkap kerang

Di sepanjang perjalanan, anda akan berhenti seketika bagi menikmati pengalaman menangkap kerang dan ikan. Para nelayan di sini akan memberikan demonstrasi menangkap hasil laut menggunakan peralatan memancing tradisional.

4. Pengalaman menangkap ikan menggunakan jaring

Bukan itu sahaja, program Hos Komuniti di Pasir Penambang akan memberikan anda pengalaman menangkap hasil hidupan laut khususnya kerang menggunakan jaring. Pastinya aktiviti seperti ini mengujakan dan memuaskan anda.

5. Alami keunikan mengekstrak kelapa

Tidak jauh dari Kuala Selangor, habiskan hari kedua anda dengan mengikuti Program Hos Komuniti di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam. Luaskan pengembaraan dan jangan lepaskan peluang untuk ketahui pelbagai jenis kelapa mengikut bentuk dan warna yang ada.

Selain itu, anda akan diajar untuk mengekstrak kelapa menggunakan kaedah tradisional.

6. Pelajari pembuatan kuih onde-onde

Dari kelapa yang diekstrak, ia boleh digunakan untuk memasak pelbagai menu makanan antaranya kuih onde-onde. Siapa yang tidak kenal akan kuih tersebut?

Rasanya cukup sedap berintikan gula melaka serta diselaputi kelapa di luarnya. Program ini akan memberikan anda peluang untuk mencuba sendiri resepi kuih onde-onde iaitu kuih tradisional yang sangat terkenal di Malaysia.

7. Ketahui cara menangkap ikan menggunakan buluh

Jika pada hari pertama anda mempelajari cara menangkap hidupan laut menggunakan jaring tradisional, hari kedua pula anda akan mencuba sendiri pengalaman menangkap ikan menggunakan buluh.

Ikan yang sering didapati di sini ialah ikan puyu dan banyak lagi.

8. Santai sambil menikmati wadai kepeng

Salah satu cara untuk menamatkan program Hos Komuniti di daerah Sabak Bernam adalah bersantai dikelilingi suasana kampung sambil menikmati kuih tradisional masyarakat Banjar iaitu wadai kepeng.

 

Sekiranya berminat untuk menyertai program yang disenaraikan di atas, anda boleh membuat tempahan melalui talian 017-258 5552 (Pua Chun Seong-Kuala Selangor) dan 011-3083 1273 (Amira Rasyidah Jamil-Sabak Bernam).

Layari laman sesawang Tourism Selangor www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor.

Anda juga boleh ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube Tourism Selangor untuk mengikuti sebarang kemaskini. #PusingSelangorDulu


Pengarang :