Rosniza Rohani menunjukkan stok spring kereta yang dijual di bengkelnya di Seksyen 15, Shah Alam
RENCANAWAWANCARA

Ratu spring kereta berhabis duit pertahan bengkel

Foto HAFIZ OTHMAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Lama mata wanita ini merenung angka di buku akaun simpanan. Ditutup semula, dihelanya nafas panjang. Tertanya-tanya Rosniza Rohani, 44, entah bila agaknya dapat kumpul semula wang macam dahulu.

Ibu dua anak itu mencongak berapa lagi duit harus dikeluarkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Tinggal RM3,000 sahaja. Lebih kasihan suaminya, habis licin. Semuanya untuk menampung perniagaan spring kereta selain keperluan keluarga.

Kalau campur kedua-dua simpanan, tidak kurang RM50,000 sudah dikorek. PKP benar-benar menguji. Pelbagai dugaan dilalui.

Teringat detik bersengkang mata menghantar tempahan pelanggan hingga jam empat pagi bersama suami. Sampai ke Senawang, Negeri Sembilan sebelum berpatah semula ke Sabak Bernam. Melelahkan tetapi itulah cabaran usahawan.

Kerja sambilan

Rosniza dan suami Hishamuddin Ani, 48, mula menceburi perniagaan spring kereta sejak 2016. Pada awalnya secara sambilan untuk pendapatan sampingan.

Rosniza Rohani ditemu bual Media Selangor di bengkel pemasangan spring di Seksyen 15 Shah Alam, baru-baru ini.

Jualan hanya menerusi media sosial Yocham Garage dan Shopee. Mereka memilih spring kereta 4Flex yang dibangunkan anak tempatan.

Ketika itu, mereka masih bekerja. Rosniza dalam sektor logistik, Hishamuddin pula perbankan. Memang mencabar lantaran pengetahuan dalam bidang automotif boleh dikatakan kosong.

Namun, Hishamuddin yakin perniagaan itu boleh bawa untung. Paling penting, mereka mempunyai pengeluar yang menyediakan bekalan pada harga kompetitif. Lain pula jangkaan Rosniza.

“Ada ke setiap hari orang ubah suai tukar spring untuk rendahkan kereta? Rupa-rupanya memang ada kaki kereta yang biasanya orang muda mahu rendahkan kereta supaya nampak lebih bergaya,” katanya kepada Selangorkini pada 16 November.

Mula-mula sukar. Kurang 20 set terjual pada bulan pertama. Namun produk semakin dikenali dalam kalangan peminat kereta. Jualan semakin rancak.

Setiap kali menjelang puasa, jualan meningkat mendadak. Peminat kereta ingin memastikan kenderaan mereka ‘kemas’ ketika pulang beraya di kampung.

Masuk tahun ketiga, lebih 100 set dijual sebulan mendorong Rosniza berhenti kerja untuk berniaga sepenuh masa pada 2019. Keputusannya itu dipandang sinis rakan wanita.

“Biasanya perempuan berniaga tudung, baju, kek, kuih atau makanan lain tetapi saya berniaga spring kereta. Mereka pelik tetapi saya jadikan ini cabaran,” katanya.

Sejak itu, masa Rosniza banyak dihabiskan mengurus perniagaan sambil dipantau suami yang masih bekerja tetap. Kesibukan Hishamuddin juga memaksa Rosniza berdikari. Ini menyebabkan beliau cepat menguasai selok-belok automotif terutama berkaitan aspek penyerap hentakan kereta.

Selepas PKP dilonggarkan pada Jun 2020, Rosniza dan suami mengambil langkah berani membuka bengkel pemasangan spring di Seksyen 15 Shah Alam dengan bantuan Yayasan Hijrah Selangor.

“Sebelum itu kami pinjam RM5,000 dan habis bayar. Kali ini untuk buka bengkel kami pinjam lagi RM20,000,” katanya.

Rosniza turut menggaji tiga pekerja mahir sekali gus melancarkan lagi operasi perniagaannya. Beliau turut menawarkan harga upah pemasangan lebih murah berbanding premis lain menyebabkan bengkelnya menjadi pilihan kaki melaram.

Kesan PKP

Namun, langit tidak selalu cerah. Tanpa diduga pada Mei 2021, sekali lagi kerajaan mengumumkan melaksanakan PKP 3.0 berikutan pertambahan kes positif Covid-19. Berbanding PKP pertama yang kurang memberi kesan, PKP 3.0 benar-benar menguji.

Lebih-lebih lagi kategori perniagaan aksesori menyebabkan bengkel tidak boleh beroperasi.

Rosniza Rohani meninjau pemasangan alatan spring kereta di bengkelnya di Seksyen 15 Shah Alam

“Masa PKP pertama kami belum ada bengkel tetapi ketika PKP 3.0 kami sudah buka bengkel dan ada pekerja pula. Jadi bebannya berbeza.

“Jualan masa PKP pertama juga tidak jatuh seteruk PKP kali ini sampaikan dalam sebulan kami cuma dapat jual kurang 20 set berbanding sasaran 100 set sebulan,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan Rosniza dan Hishamuddin menggunakan wang simpanan untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Namun, mereka bersyukur. Walaupun perit, perniagaannya dapat mengharungi saat getir sepanjang tiga bulan perintah kawalan.

Kejayaan mengharungi PKP 3.0 menjadi tangkal pencetus semangat suami isteri itu untuk tabah.

Kini, mereka bukan sahaja menjual dan memasang spring tetapi menambah lagi produk iaitu penyerap hentak jenama antarabangsa terkenal dalam pasaran.

“Kami mahu menjadikan bengkel ini menjual dan imbang tayar serta penjajaran kereta,” katanya.

 

 


Pengarang :