AGENDANASIONAL

Rempuh kanak-kanak: Pemandu disyaki tiada permit van sekolah

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemandu merempuh kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi Sepang semalam dipercayai tiada permit van sekolah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata ia berdasarkan warna kenderaan itu yang tidak menepati ketetapan, lapor Kosmo!

“Ia berikutan kenderaan berkenaan berwarna putih dan bukannya kuning seperti yang sudah ditetapkan.

“Selain itu, van tersebut tidak tertera perkataan van sekolah sekali gus dipercayai tidak mempunyai permit yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad mengesahkan pemandu berusia 31 tahun itu dibebaskan selepas ditahan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.10 tengah hari itu mangsa Nur Alisha Safiya Mohd Azlin maut selepas dirempuh van dinaikinya di hadapan tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi.

Siasatan mendapati mangsa yang dikatakan turun dari van itu berjalan di hadapan kenderaan itu sebelum dirempuh.


Pengarang :