EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan replika kunci kepada Siti Noradiana Rahmat, 40, yang memenangi cabutan bertuah ketika Majlis Perasmian Penutup penyelidikan, Pembangunan & Inovasi Selangor 2021 pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rezeki hantar borang saat akhir, usahawan katering bawa pulang motosikal

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Keputusan saat akhir pemilik sebuah syarikat katering menghantar borang cabutan bertuah pada acara penutup Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) 2021 membawa tuah apabila memenangi hadiah utama, motosikal jenis Honda Dash.

Siti Noradina Rahmat,40, berkata dia hadir ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 hari ini bersama suami Kabir Abd Rahman bagi menghantar pekerjanya yang menyertai pertandingan pulut kuning.

“Kami datang untuk beri sokongan moral kepada pekerja dan pada mulanya tidak bercadang menyertai cabutan bertuah. Namun, setelah berbincang saya dan suami ambil keputusan cuba nasib menghantar borang sebelum pulang ke rumah.

“Kira-kira jam 2.30 petang penganjur hubungi saya dan minta datang semula kerana memenangi hadiah utama cabutan bertuah. Saya bersyukur dan tidak sangka percubaan menghantar borang saat akhir membawa tuah,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah ibu kepada tujuh anak itu, beliau dan suami bercadang memberikan hadiah motosikal itu kepada anak sulungnya berusia 17 tahun.

“Kami memang merancang untuk memberi anak motosikal bagi memudahkan pergi ke sekolah dan tidak sangka rezekinya,” katanya.

Terdahulu, Siti Noradina menerima hadiah cabutan bertuah daripada EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim dalam majlis perasmian penutup SRIE 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Selangor 2021 sempena penganjuran SRIE 2021 kali kedua.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memenangi beberapa kategori antaranya Dokumentasi Terbaik, Projek Inovasi Primer Terbaik, Projek Inovasi Hibrid Terbaik, Johan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) dan Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan).

SRIE 2021 berlangsung seiring SIBS 2021 secara hibrid mulai Selasa lalu hingga hari ini.

Sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.


Pengarang :