Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang yang dijadualkan di Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RM300 sebulan bantu 30,000 keluarga depani pascawabak

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM300 sebulan akan diberi kepada 30,000 keluarga di Selangor bermula Februari tahun depan.

Pemberian menerusi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) memperuntukkan RM108 juta bagi meringankan beban keluarga termasuk ibu tunggal mendepani cabaran pasca pandemik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian itu untuk membantu penerima membeli barang keperluan rumah, membayar yuran dan pendidikan anak-anak.

Katanya, program baharu itu menyasar 180,000 penerima melibatkan 30,000 keluarga di negeri ini.

“Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk meluaskan capaian dan menambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja oleh golongan ibu tetapi juga oleh keseluruhan keluarga,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Penerima bantuan KISS dan KISS-IT pada masa sekarang adalah seramai 21,000 orang serta 9,000 orang tambahan penerima sepanjang 2021.


Pengarang :