Unisel giat melaksanakan naik taraf akses internet bagi mempertingkatkan kelajuan bermula tahun ini. FOTO: Unisel
AGENDANASIONAL

RM6 juta sedia jalur lebar mudah alih di kawasan industri

SHAH ALAM, 26 NOV: Kemudahan jalur lebar mudah alih di kawasan perindustrian akan disediakan menerusi inisiatif Jalur Lebar Industri Selangor (JALIN) yang membabitkan dana RM6 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata infrastruktur itu antara keperluan syarikat kecil, sederhana dan multinasional selain elektrik serta air untuk operasinya.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan dapat mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara.

“SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) selaku penyedia infrastruktur telekomunikasi di Selangor akan bekerjasama dengan pemain industri telekomunikasi sedia ada dalam menyediakan jalur lebar di kawasan industri teknologi tinggi dengan peruntukan RM6 juta pada 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga akan memudahkan perjalanan perniagaan daripada aspek kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Tambah beliau, tempoh proses pembangunan tanah akan dipendekkan kepada kurang daripada 200 hari selain memperkasakan pelaksanaan Smartbox di Pejabat Tanah dan Galian Selangor bermula tahun depan.

“Bagi memacu dan menggalakkan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat, Kerajaan Negeri bersetuju memberi insentif pengecualian 100 peratus bayaran caj pemajuan iaitu RM 500 bagi pembinaan rumah mampu milik. Insentif ini akan bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023.

“Selain itu, Dasar 100 Hari Kelulusan Tanah yang sebelum ini mensyaratkan bayaran deposit premium tanah 150 peratus daripada anggaran diturunkan kepada 100 peratus untuk mempermudahkan urusan pihak industri,” katanya.


Pengarang :