Kakitangan perubatan menunjukkan botol vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi Covid-19 di Singapura pada 8 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Rumusan saintifik buktikan Pfizer berkesan sebagai dos penggalak

PUTRAJAYA, 12 NOV: Rumusan saintifik pemberian vaksin jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech sebagai dos penggalak di luar negara termasuk Thailand, Chile dan Turki menunjukkan keberkesanan yang baik.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata vaksin Comirnaty digunakan sebagai dos penggalak di Malaysia buat masa ini.

“Apa yang kita lihat, untuk golongan muda dan lebih 65 tahun, vaksin Pfizer yang diberi sebagai dos penggalak menunjukkan peningkatan imuniti. Ini pada tahap yang tinggi,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Kalaiarasu berkata kajian di Chile menunjukkan dos penggalak secara homologous iaitu penerima vaksin Coronavac menerima dos penggalak dari jenis vaksin sama menunjukkan peningkatan keberkesanan terhadap jangkitan antara 56 hingga 80 peratus.

Bagi dos penggalak yang diberikan secara heterologous, atau penggunaan vaksin penggalak berlainan, iaitu Comirnaty menunjukkan kadar keberkesanan antara 56 hingga 90 peratus dan antara 56 hingga 93 peratus bagi vaksin keluaran AstraZeneca, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata satu video yang tular mengenai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi perhatian kepada vaksin campuran digunakan sebagai dos penggalak, namun video itu dirakam pada Julai yang ketika itu tiada bukti saintifik yang nyata lagi.

Beliau berkata kajian vaksin campuran di beberapa negara seperti Thailand dan Chile menunjukkan keberkesanan yang baik sehingga 90 peratus.

Justeru Dr Noor Hisham menyeru individu yang sudah menerima tarikh menerima dos penggalak agar tampil mendapatkannya.

“Kami dapati 40 peratus tidak hadir untuk mendapatkan dos penggalak. Nasihat KKM adalah tampil dapatkan dos penggalak untuk tingkatkan imuniti menghadapi jangkitan berlaku,” katanya.

Dr Noor Hisham hari ini menerima dos penggalak, berkata jangkitan mula berlaku di beberapa negara Eropah termasuk Jerman dan Austria dengan peningkatan mendadak yang telah memulakan program vaksinasi lebih awal.

Katanya, situasi itu harus dijadikan pengajaran kepada rakyat Malaysia untuk segera mendapat dos penggalak bagi mendapatkan perlindungan selain menggunakan kaedah serampang dua mata iaitu meningkatkan liputan vaksinasi dan tindakan kesihatan awam.

Dr Noor Hisham berkata Sinovac dan AstraZeneca telah menghantar data kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk permohonan dos penggalak dan mesyuarat pada 17 Nov ini akan menilai semula data itu.

-BERNAMA


Pengarang :