Pemain badminton negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain perseorangan Perancis, Brice Leverdez pada perlawanan peringkat kumpulan M pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza pada 28 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Sakit belakang, Zii Jia terpaksa lupakan gelaran juara Terbuka Hylo 2021

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia pasti tidak dapat melupakan perlawanan akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman malam tadi selepas beliau terpaksa menarik diri daripada meneruskan perlawanan dalam set penentuan berikutan sakit belakang yang dialaminya.

Zii Jia yang merupakan pilihan kedua kejohanan terpaksa menarik diri selepas ketinggalan 12-17 dan memberi laluan kepada pemain bukan pilihan dari Singapura Loh Kean Yew menjuarai kejohanan itu selepas bertarung selama 64 minit pada final yang berlangsung di arena Saarlandhalle di Saarbrucken.

Zii Jia yang berada pada kedudukan ranking kelapan dunia bermula dengan baik dan mendahului Kean Yew 11-7 tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan terutamanya ketika bermain di hadapan jaring dan smesy yang tersasar daripada gelanggang membenarkan pemain Singapura itu mengumpul mata demi mata dan merapatkan jurang mata kepada 19-18.

Pada kedudukan 20-18 perlawanan ditangguhkan selama tujuh minit selepas Kean Yew mengalami luka pada buku jari tangan kanan dan memaksanya mendapatkan rawatan perubatan di tepi gelanggang.

Pemain Malaysia itu kemudian berjaya mendapatkan rentak permainan dan berjaya menewaskan Kean Yew 21-19 pada set pertama perlawanan.

Kecederaan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat pemain ranking ke-39 dunia itu untuk bangkit dan menundukkan Zii Jia 21-13 menerusi smesy-smesy tajam pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Set penentuan berlangsung dengan penuh debaran terutamanya pada awal permainan apabila kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata sehingga kedudukan 10-10 sebelum kecederaan yang dialami Zii Jia membuatkan Kean Yew melebarkan jurang mata kepada 17-12 dan seterusnya memenangi perlawanan itu selepas pemain Malaysia itu tidak dapat meneruskan permainan.

Kemenangan malam tadi menyaksikan Kean Yew menambah rekod tanpa kalahnya berhadapan Zii Jia sejak minggu lepas selepas beliau menyingkirkan jaguh perseorangan Malaysia itu 24-22 dan 21-14 pada pusingan pertama Terbuka Perancis.

Kekalahan kali ini menunjukkan Zii Jia masih tidak berupaya untuk mengakhiri kemarau juara selama lapan bulan selepas beliau menewaskan Victor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9 dalam Kejohanan All England 2021 di Birmingham, England, Mac lepas.

– BERNAMA


Pengarang :