Keadaan semasa di Taman Puteri yang dinaiki air banjir ketika tinjauan di sekitar Pokok Sena, Kedah pada 30 Oktober 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sebuah lagi PPS dibuka di Kedah, 523 mangsa banjir setakat ini

ALOR SETAR, 1 NOV: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kedah bagi menempatkan 20 mangsa daripada enam keluarga yang melibatkan daerah Kota Setar iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 523 orang daripada 159 keluarga setakat 8 malam.

“Jumlah ini meningkat berbanding 503 orang daripada 153 keluarga yang ditempatkan di PPS pada sebelah petang tadi (semalam). Setakat ini secara keseluruhan, terdapat 11 PPS yang dibuka di Kedah di empat daerah,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di daerah Baling, Pendang dan Pokok Sena masih kekal sama seperti petang tadi iaitu masing-masing 279 orang, 188 orang dan 36 orang.

Beliau berkata tujuh PPS di Baling merangkumi SK Tanjung Pari, SK Siong, Dewan Orang Ramai Banggol Derom, SK Titi Gantung, SK Tengku Putera, SK Pulai dan SK Keda.

PPS di Pokok Sena pula ialah Surau Permatang dan Masjid Sungai Durian manakala Dewan Rakan Sukan, Tanah merah pula bagi daerah Pendang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Setar Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum pula berkata banjir di daerah Kota Setar berlaku disebabkan limpahan air banjir dari Pokok Sena yang berlaku semalam dan melalui Sungai Langgar.

“Jadi, air Sungai Langgar ini melimpah keluar sehingga ke kawasan rumah penduduk di sembilan kampung dalam daerah Kota Setar sehingga menyebabkan mereka terpaksa berpindah ke PPS yang dibuka pada 6 petang semalam.

“Hujan hanya renyai-renyai sekejap sahaja hari ini (semalam) di Kota Setar. Lepas itu dah tidak ada hujan. Banjir ini berpunca daripada limpahan air Sungai Langgar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa dan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan hujan lebat sehingga berlaku banjir.

– BERNAMA

 


Pengarang :