Mohd Shahrizal Mohd Salleh (kiri) mendengar penerangan berhubung persiapan menghadapi banjir susulan fenomena air pasang besar ketika meninjau pintu air Pandamaran 12, Klang pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sedia 71 pusat pemindahan di Klang hadapi risiko banjir

KLANG, 2 NOV: Sebanyak 71 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di Klang untuk menempatkan penduduk terjejas akibat air pasang besar dan Monsun Timur Laut antara 4 hingga 7 November.

Ia membabitkan sekolah dan dewan orang ramai berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, kata pemangku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang.

“Garis panduan itu turut menjelaskan pengendalian mangsa kepada beberapa risiko Covid-19 yang akan diasingkan mengikut bilik berbeza,” kata Mohd Shahrizal Mohd Salleh hari ini.

Beliau yang ditemui selepas melawat pintu air Pandamaran 12 di sini berkata maklumat berhubung lokasi PPS boleh didapati dengan menghubungi bilik gerakan bencana daerah di talian 03 3371 6700.

Antara lokasi pusat pemindahan tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja Uda, SK Methodist, SK Pelabuhan Klang, Dewan Orang Ramai MBSA Seksyen 19 dan Dewan Taman Sentosa.

Sementara itu, Mohd Shahrizal turut meminta Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran menyelenggara sistem saliran sebagai persediaan menghadapi fenomena tersebut.

“Seperti contoh Majlis Bandaraya Shah Alam menyewa pam air dan membina kolam tadahan sementara bagi menghadapi bencana banjir,” katanya lagi.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai 4 November di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.


Pengarang :