AGENDANASIONAL

SELangkah perkenal e-dompet, mudahkan transaksi tanpa tunai

SHAH ALAM, 19 NOV: Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memperkenal e-dompet sebagai fungsi terbaharu aplikasi itu, hari ini.

Berdasarkan perkongsian video di Facebook, fungsi dinamakan SELangkah Wallet itu boleh diaktifkan selepas pengguna mengemas kini aplikasi SELangkah.

“Aktifkan SELangkah Wallet sekarang untuk menikmati kemudahan pembayaran dan ciri-ciri lain,” katanya.

Video berdurasi kurang satu minit itu juga menunjukkan langkah-langkah yang perlu diikuti pengguna untuk menikmati kemudahan yang disediakan.

Antaranya, pengguna wajib mengisi maklumat peribadi dan membuat pengesahan identiti.

Sementara itu berdasarkan notifikasi di aplikasi antara kelebihan menggunakan SELangkah Wallet ialah transaksi pembayaran melalui kod QR, tambah nilai dompet, pemindahan wang, tambah nilai telefon pintar dan pembayaran bil.

Pada 9 Februari, Duta SELangkah, Adibah Noor berkata aplikasi itu bakal menawarkan fungsi komersial bagi membantu pengguna menyesuaikan diri ke arah pendigitalan.

Katanya ia bakal dilengkapi SELangkah Biz yang membolehkan peniaga menerima bayaran dari mana-mana platform e-dompet.

Turut diperkenalkan, ciri dompet iaitu SELangkah Wallet dan SELangkah Pay untuk memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.


Pengarang :