Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor belanja RM5 juta bantu 1,100 PKS ke arah digital

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menyalurkan RM5 juta kepada 1,100 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor untuk menggalakkan PKS mengambil langkah pertama mendigitalkan perniagaan mereka.

Geran padanan itu yang dilancarkan pada April 2021, di tengah-tengah pandemik Covid-19, merangkumi lima bidang pendigitalan iaitu perakaunan awan, sistem e-pembayaran, pengurusan sumber manusia dan senarai gaji, pemasaran digital dan sistem e-dagang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada 1,500 PKS di Selangor yang memohon geran itu, 1,100 daripadanya telah memenuhi syarat untuk mendapat manfaat daripada geran berkenaan.

“Berdasarkan beberapa kisah kejayaan daripada program ini, ramai yang telah membuktikan bahawa melalui penggunaan e-dagang, sistem e-pembayaran dan pemasaran digital, mereka telah memanfaatkan geran padanan ini untuk menambah baik operasi pembayaran dan pengurusan transaksi,” kata Amirudin dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, antara acara bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, di sini hari ini.

Bertemakan ‘Transformasi Digital Menuju Pemulihan Ekonomi,’ acara itu dianjurkan bersama oleh Sidec dan Invest Selangor Bhd, cabang pelaburan oleh kerajaan negeri Selangor.

Konvensyen itu menghimpunkan pemimpin industri, ahli akademik, PKS serta sektor kerajaan dan swasta untuk mendalami kaedah memperkukuh dan mengembangkan ekosistem pendigitalan PKS Selangor dalam membentuk rangka kerja dan penyelesaian bandar pintar dan ekonomi digital sedia ada dan untuk masa depan.

-BERNAMA


Pengarang :