EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (kanan) melihat hasil seni peserta ketika program Kita Seniman Selangor di pusat beli belah Shah Alam City Centre (SACC Mall) pada 4 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bina pusat seni, pamer lukisan termasuk koleksi Sultan

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat kesenian yang mempamerkan koleksi lukisan terkenal dari dalam dan luar negara bakal diwujudkan di bandar raya ini menjelang 2023.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata idea penubuhannya diilham Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj malah koleksi lukisan kesayangan baginda juga akan ditempatkan di situ sebagai daya tarikan pengunjung.

“Pusat ini dibina di bangunan Bank Negara Malaysia di Seksyen 14. Proses pembelian sedang berjalan dan akan terus diubah suai sebagai tempat pameran. Kita jangka akan buka pada 2023.

“Bangunan ini dilihat sesuai kerana memiliki bilik kebal. Lukisan berharga termasuk milik Sultan Selangor disimpan di situ. Kita turut pamerkan lukisan pengkarya lama dan pendatang baharu,” kata Borhan Aman Shah hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Kita Seniman Selangor di SACC Mall di sini bertujuan membantu penggiat seni jalanan berdepan zaman pasca Covid-19 ini.

Borhan berkata pusat itu turut menyediakan ruangan khas untuk pengkarya menghasilkan seni kreatif masing-masing sekali gus menggalakkan perkembangan industri seni.

Sultan Sharafuddin amat mencintai bidang seni terutama lukisan malah memiliki koleksi potret dan susur-galur keluarga baginda.

Baginda juga menggemari lukisan berdasarkan peristiwa bersejarah negara ini, antaranya pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan perjanjian penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.


Pengarang :