Skuad Ragbi Wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor buat persiapan 16 acara wajib Sukma Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 18 NOV: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor masih menunggu ketetapan acara yang bakal dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 di Kuala Lumpur tahun depan.

Bagaimanapun, pengarah eksekutif MSN Selangor berkata pihaknya mempersiapkan atlet bagi 16 acara wajib untuk bersaing pada temasya dwitahunan dihoskan Majlis Sukan Negara.

Mohamad Nizam Marjugi menjelaskan penganjuran 31 acara yang sepatutnya diadakan di Johor sukar berlaku ekoran situasi semasa pandemik Covid-19.

“Buat masa ini, pihak Jawatankuasa Tertinggi Sukma belum memutuskan jenis sukan yang tersenarai dan digugurkan termasuk format pertandingan.

“Jadi agak susah untuk kita melakukan gerak kerja, namun bersiap sedia dengan 16 acara sukan wajib antaranya ragbi, tinju, menembak, badminton dan pencak silat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 28 Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan penganjuran Sukma yang dijadual berlangsung di Johor ditunda ke 2024.

Persetujuan dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma termasuk menganjurkan Sukma dan Sukan Para Sukma di Kuala Lumpur pada 2022.

Untuk rekod, temasya sukan peringkat kebangsaan sepatutnya berlangsung dari 11 hingga 22 Julai tahun lepas sebelum dianjak dua kali pada Mac dan April 2021 berikutan pandemik.


Pengarang :