Ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan. Foto Facebook Brendan Gan
AGENSISELANGOR

Selangor FC masih bayar gaji Brendan Gan

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor FC masih membayar gaji kapten pasukan, Brendan Gan yang sedang melawan kanser.

Jelas pasukan Gergasi Merah itu, pihaknya masih memenuhi kewajipan seperti yang dipersetujui di dalam kontrak pemain berdarah campuran Malaysia-Australia itu.

“Hari ini Selangor FC banyak menerima pertanyaan berkenaan status pemain kami yang sedang melawan kanser.

“Kami ingin menjelaskan kelab sudah memenuhi semua kewajipan yang dipersetujui di dalam kontrak dari awal hingga hari ini dan kami akan terus melakukannya sehingga tamat mana-mana kontrak sedia ada,” katanya di Facebook.

Tambah Selangor FC, untuk kontrak masa hadapan pengaturan baharu akan dibuat atas persetujuan bersama.

Sementara itu, Brendan menerusi akaun Twitter menafikan dakwaan di media sosial dan menegaskan majikannya itu sentiasa mematuhi kontrak yang sudah ditandatangani.

“Saya sudah melihat dan membaca mengenai apa yang diperkatakan di media sosial dan saya lihat perkara ini boleh ditakrifkan dalam pelbagai cara.

“Saya mahu menjelaskan bahawa Selangor FC mematuhi kontrak 2021 saya sepenuhnya,” katanya.

Pada 26 Julai, ketua pasukan Selangor FC yang juga pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan menghidap barah testis.

Perkara itu dimaklum beliau menerusi Facebook yang mendapat perhatian lebih 3,000 warga media sosial yang mendoakannya selain meninggalkan tanda suka.


Pengarang :