AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor laksana beberapa inisiatif bantu masyarakat India

SHAH ALAM, 3 NOV: Beberapa inisiatif diusahakan Kerajaan Selangor bagi memelihara kelangsungan hidup serta membuka peluang pekerjaan masyarakat India negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata antaranya program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) yang menawarkan latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, bimbingan perniagaan serta bantuan peralatan perniagaan ataupun geran.

“Sehingga Oktober lebih 2,000 peserta menyertai program ini. Kerajaan Negeri juga turut meningkatkan bilangan Ketua Komuniti India dari 48 kepada 62 orang sebagai kepentingan hubungan komuniti dalam masyarakat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perutusan Hari Deepavali hari ini.

Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Program tersebut menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun dan usahawan yang berminat boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.

Kerajaan Selangor turut memperuntuk RM1.7 juta menjayakan program India Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development (I-SEED) pada April bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India melalui pemberian peralatan niaga.

Amirudin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Deepavali bagi seluruh masyarakat Hindu dan Sikh di negara ini terutamanya penduduk Selangor.

“Saya pasti perayaan kali ini disambut dengan meriah dan penuh semangat. En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!” katanya.


Pengarang :