Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor miliki rizab kukuh, defisit lebih RM200 juta tidak membebankan

SHAH ALAM, 27 NOV: Defisit Belanjawan #Selangor2022 lebih RM200 juta tidak membebankan Kerajaan Negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini berikutan Selangor mempunyai rizab yang bertambah serta mengukuh dan boleh digunakan.

“Tahun lepas defisit lebih kurang RM100 juta lebih dan kali ini RM200 juta lebih ia disumbang kerana sasaran pendapatan kita pada tahun depan kurang.

“Defisit yang ditambah tidak begitu bermasalah kerana kita mempunyai rizab yang bertambah dan mengukuh serta boleh digunakan ketika krisis. Saya rasa ini masa kerajaan berbelanja untuk memastikan pembangunan projek dapat dilaksana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Belanjawan #Selangor2022 di sini.

Kerajaan Selangor semalam membentangkan belanjawan negeri dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.34 bilion dalam usaha meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Amirudin berkata dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan #Selangor2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222.7juta.

“Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding tahun ini bagi penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk mengukuhkan pemacuan ekonomi pasca pandemik Covid-19 sekali gus membina negeri tahan uji dalam pelbagai aspek,” katanya.


Pengarang :