DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat gerai pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November 2021. Baginda diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri). Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor percepat program pendigitalan, perkasa rakyat dan ekonomi

Oleh Alang Bendahara

KUALA LUMPUR,18 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri bertindak mempercepatkan program pendigitalan dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.

Beliau berkata, meskipun program Smart Selangor Vision 2025 dibangunkan sebelum wabak melanda, ia direka bentuk bagi memperkasakan rakyat, sektor perniagaan dan perkhidmatan awam.

“Menyedari pandemik telah mempercepatkan proses pendigitalan di seluruh dunia, Kerajaan Negeri juga menyegerakan rancangan dalam membina ekonomi  dan ekosistem digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan sidang kemuncak itu.

Bertemakan ‘Selangor Gerbang ASEAN’, SIBS 2021 berlangsung dari 18 hingga 21 November dalam format hibrid.

Amirudin berkata, program Smart Selangor Vision 2025 mengoptimumkan teknologi digital bagi mencapai objektif negeri pintar yang merangkumi aspek Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Komuniti Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar.

“Pemerkasaan itu menjadi semakin penting dalam landskap baharu sosial dan ekonomi pasca pandemik,” tegasnya.

Amirudin berkata, langkah itu bagi memastikan Selangor kekal di hadapan dalam gelombang pendigitalan dan menyediakan asas bagi menarik minat para pelabur sektor teknologi tinggi dan mempunyai nilai tambah.

Dalam pada itu katanya, Selangor kini sedang bergerak ke arah industri berteknologi tinggi bagi mengekalkan statusnya sebagai pemacu ekonomi negara.

“Bagi memastikan pertumbuhan mapan bagi tempoh jangka masa panjang, Selangor berhasrat untuk menjadi pusat pembuatan berteknologi tinggi.

“Selangor bertindak aktif dalam menarik minat kemasukan pelabur-pelabur yang mempunyai keupayaan Industri 4.0 (4IR) seperti automasi, industri internet pelbagai benda dan robotik,” katanya.

 


Pengarang :