Selangorkini
Syarikat Embraer berkongsi kepada pemain industri jet penerbangan komersial keluaran syarikatnya, E195-E2 yang menggunakan teknologi baharu seperti penjimatan minyak pada Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 25 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tumpu segmen niaga, penerbangan am industri aeroangkasa

SUBANG, 25 NOV: Selangor merancang untuk memberi tumpuan kepada segmen perniagaan dan penerbangan am industri aeroangkasa kerana sektor ini terbukti berdaya tahan terhadap impak daripada pandemik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai contoh segmen industri penerbangan yang berdaya tahan semasa pandemik adalah operasi kargo udara, tetapi tidak semua syarikat penerbangan atau pengendali mempunyai keupayaan atau sumber bagi memanfaatkan pasaran itu, manakala satu lagi adalah perniagaan dan penerbangan am.

“Negeri ini sudah mempunyai `permata tetapi tidak digilap’ iaitu Lapangan Terbang Subang, jadi, kami berazam untuk membantu membuka potensi lapangan terbang ini bagi menyokong dan mengekalkan pertumbuhan dalam perniagaan dan industri penerbangan am, serta aktiviti-aktiviti penerbangan lain.

“Selangor sentiasa memberi penekanan kepada industri aeroangkasa. Dengan dua lapangan terbang utama di negeri ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, kami mempunyai volum trafik udara tertinggi di negara ini dan sememangnya merupakan lokasi terbaik yang dilengkapi dengan sumber terbaik untuk industri ini berkembang maju,” katanya semasa berucap secara dalam talian sempena Pameran Udara Selangor 2021 (SAS 2021) yang diadakan dari 25 hingga 27 November 2021.

Menurut laporan Global Jet Capital, terdapat 1.8 juta penerbangan oleh jet perniagaan yang beroperasi di seluruh dunia antara Januari hingga Julai 2021, peningkatan sebanyak 49 peratus dalam tempoh yang sama pada 2020.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 secara dalam talian di Pusat Penerbangan Serantau Skypark, Subang pada 25 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lebih penting lagi, bilangan penerbangan untuk tempoh yang sama semasa pra-pandemik 2019 ialah 1.79 juta, yang memberi petanda kita kini melihat aktiviti penerbangan semasa untuk jet perniagaan melepasi tahap 2019.

“Sementara itu, urus niaga jet perniagaan bernilai kira-kira US$13.88 bilion (US$1=RM4.21) di seluruh dunia dari Januari hingga Julai 2021, berbanding US$14.10 bilion dalam tempoh yang sama sebelum pandemik pada 2019.

“Ini adalah petanda yang sangat menggalakkan bagi segmen tersebut, memandangkan syarikat penerbangan komersial, lapangan terbang dan industri pelancongan hanya dijangka hampir pulih sepenuhnya menjelang 2024 atau selepas itu,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, cabarannya adalah untuk mengembangkan aktiviti penerbangan di sini dan menarik lebih banyak ketibaan jet perniagaan antarabangsa ke Malaysia, khususnya ke Lapangan Terbang Subang, satu usaha yang memerlukan semua pihak bekerjasama untuk merealisasikannya.

Selain itu, Amirudin berkata peningkatan aktiviti penerbangan juga akan meningkatkan rantaian bekalan ekosistem industri penerbangan di negeri ini, antaranya ialah penyedia perkhidmatan darat, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta penyedia perkhidmatan kejuruteraan, organisasi kru penerbangan, penyedia latihan dan kakitangan daripada profesion undang-undang, kewangan dan percukaian.

Selain jet perniagaan dan helikopter, Selangor juga melihat pertumbuhan dalam industri dron, khususnya dalam subsektor dron komersial, katanya.

“Penerimaan terhadap dron komersial sedemikian dalam berkhidmat untuk pelbagai sektor ekonomi dan sosial meningkat begitu pantas dengan permintaan dan minat yang besar,” tambahnya.

-BERNAMA

 


Pengarang :