Peserta menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi Selvax Komuniti di Klinik Selcare Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selvax Komuniti di klinik panel mudahkan ramai individu divaksin

SHAH ALAM, 3 NOV: Langkah Kerajaan Negeri meneruskan Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di klinik panel Selcare memudahkan lebih ramai individu mendapat pelalian.

Warga Indonesia Mohd Tahir, 38, berkata dia dan rakan sekerja Asari, 47, mengambil peluang memanfaatkan program itu selepas dimaklumkan majikan.

“Kami tidak tahu cara nak dapatkan vaksin atas faktor komunikasi. Kami datang sini selepas diberitahu penyelia kerana tak lama lagi akan bekerja semula.

Mohd Tahir. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Majikan bantu daftarkan kerana kami tidak tahu. Cara juga mudah tak ambil masa lama. Terima kasih kerana benarkan warga luar ambil suntikan ini,” katanya ditemui di Klinik Selcare Shah Alam di sini hari ini.

Sementara itu Chew Soon Keong, 51, membawa tiga anaknya Chew Xin Lun, 18; Chew Xin Zhe, 15; dan Chew Xin You, 13,
mendapatkan pelalian bagi memastikan kehidupan mereka sekeluarga lebih bebas.

“Sekarang susah untuk lakukan pelbagai aktiviti bersama seperti makan di kedai kerana anak-anak masih tidak divaksin.

Chew Soon Keong. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bila dah disuntik risiko jangkitan kurang. Ini juga sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan bersemuka,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Xin Lun berkata pengambilan vaksin itu membolehkan dia melakukan perbagai aktiviti kegemaran antaranya melancong ke luar negara.

“Itu antara perkara yang saya akan lakukan selepas dua tahun tidak ke mana-mana. Vaksin juga membolehkan saya bersukan dengan rakan-rakan tanpa rasa risau,” katanya.

Kerajaan Selangor meneruskan Selvax Komuniti di klinik panel Selcare di negeri ini dan Perak bermula Isnin bagi memastikan tiada penduduk tercicir dan terlepas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Program melibatkan lokasi di Kajang, Batang Kali, Kuala Selangor, Sungai Besar, Ampang, Bandar Mahkota Cheras, Bukit Changgang, Puchong, Gombak dan Tanjung Malim, Perak.

Orang ramai yang ingin sertai diminta membuat pra daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), tekan butang VAX dan masukkan kod baucar yang betul serta hantar ke: https://bit.ly/3k2mUHo


Pengarang :