Petugas Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) membuat persiapan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan ketika tinjauan di Taska Nur Hidayu Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 19 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semua tadika, taska beroperasi sepenuhnya Januari depan – menteri

BUTTERWORTH, 14 NOV: Semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), akan beroperasi sepenuhnya menjelang Januari tahun depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketika ini 10,301 kelas Tadika dan 544 kelas Taska itu, beroperasi mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Semua institusi pendidikan awal kanak-kanak itu ketika ini beroperasi mengikut segala tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat dan ditetapkan, jadi ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak-anak, kerana Kemas mengambil semua langkah yang sepatutnya bagi memastikan keselamatan kanak-kanak.

“Kami menjangkakan awal tahun depan semua tadika dan taska Kemas akan beroperasi sepenuhnya. Apapun, kita telah bersedia (jika operasi taska dan tabika Kemas dibuka sepenuhnya nanti). Guru-guru pun semua telah lengkap divaksin ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia), di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden Alumni 4B Malaysia Datuk Syed Azmi Ahmad Syed Nazir Ahmad Al-Husaini, dan pada majlis itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar yang turut hadir, menerima anugerah penghargaan khas di atas sumbangannya terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :