Kakitangan Selgate Corporation Sdn Bhd turut serta pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 20 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SIBS 2021: e-Dompet SELangkah tawar tambah nilai percuma RM30

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Lebih 200 individu menerima tambah nilai RM30 secara percuma melalui aplikasi baharu e-dompet Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah Wallet).

Insentif itu didapati secara eksklusif di gerai pameran Selgate Corporation Sdn Bhd sempena Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE) (Medik) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Eksekutif kanan pemasaran dan komunikasi Selgate berkata manfaat itu boleh ditebus sepanjang ekspo berlangsung untuk membeli barangan di farmasi terpilih dan membayar bil.

“Buat masa ini, sambutan diterima menggalakkan dalam tempoh dua hari sejak penganjuran ekspo,” kata Alia Amira Zulkhairi ketika ditemui hari ini.

Beliau turut memuji penganjuran SIE seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021, yang membantu syarikat itu memasarkan pelbagai produk.

“Orang ramai hanya mengenali SELangkah sebagai aplikasi mengesan kontak rapat sedangkan pelbagai produk ada di bawahnya,” katanya lagi.

SIE (Medik) merupakan acara baharu yang diperkenalkan dalam SIBS 2021, yang berlangsung secara hibrid antara 18 hingga 21 November.

Acara lain termasuk Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor serta Ekspo Selangor Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi 2021.


Pengarang :