Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama panel jemputan selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 19 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidang kemuncak perniagaan Selangor hubungkan pelabur dengan pemain serantau

Oleh  Alang Bendahara

KUALA LUMPUR, Nov 19: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC) 2021 membuka peluang kepada pelabur menjalin rangkaian dengan pemain industri terkemuka negara dan serantau.

Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua acara itu juga memberi peluang kepada mereka menceburi perniagaan baharu pasca wabak Covid-19.

“Ketika negara dan dunia ke arah pemulihan, kita semua diberi peluang untuk memulakan dan mencipta semula ekonomi.

“Justeru, SABC dan SIBS adalah platform yang ideal untuk membina hubungan dengan pemain utama industri di rantau Asean khusususnya.

“Saya berharap peluang mewujudkan rangkaian akan direalisasikan sebagai peluang perniagaan sebenar selepas persidangan dan sidang kemuncak ini,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap merasmikan SABC 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar menyeru anggota Asean untuk bekerjasama  mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih teguh dan berdaya tahan.

“Walaupun rantau Asean menyaksikan peningkatan ekonomi yang besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun kami masih belum mencapai potensi sepenuhnya.

“Saya harap penyertaan anda pada persidangan dan sidang kemuncak tahun ini akan membuahkan hasil yang kemudiannya menyumbang kepada visi lebih besar untuk mewujudkan ekonomi Asean yang kukuh,” katanya.

Amirudin berkata format hibrid yang dilaksanakan dalam penganjuran SABC memberi peluang pemain industri berkongsi pandangan tentang masa depan perniagaan, industri dan kerja dengan lebih meluas.

Beliau juga memuji Invest Selangor Berhad dan EXCO Industri dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim kerana berjaya menganjurkan SABC bagi edisi kelima.

“Saya percaya, SABC khususnya dan SIBS secara amnya, telah menyediakan platform serantau yang sangat baik untuk perbincangan penting tentang isu-isu mendesak yang akan diadakan dan didengari.

“Wawasan yang dikongsi para pemikir yang berucap pada SABC edisi lepas telah memberikan nilai luar biasa kepada komuniti perniagaan dan pelabur Asean,” katanya.

Dengan tema ‘Selangor Gerbang Ke Asean’, SIBS 2021 berlangsung 18 hingga 21 November dalam format hibrid.

Persidangan dan pameran yang disokong Kerajaan Negeri itu menghimpunkan jenama global dan mengumpulkan pemain industri dari seluruh dunia untuk kali kelima sejak penubuhannya pada 2016.

Acara fizikal persidangan itu menampilkan kira-kira 500 reruai manakala bentuk mayanya boleh diakses melalui www.selangorbusinesshub.my yang melibatkan kira-kira 800 pempamer.

 

 


Pengarang :