Pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sidec raih penciptaan nilai cecah RM250 juta melalui pelbagai program pada 2021

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) telah mencapai kejayaan penting dengan penciptaan nilai mencecah RM250 juta dan memberi impak kepada 230,000 peserta melalui pelbagai program pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata ia juga telah memainkan peranan penting dalam mempercepat pendigitalan Selangor, terutamanya dalam kalangan peniaga e-dagang, syarikat pemula niaga, dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kerajaan Negeri Selangor melalui SIDEC telah menganjurkan empat kempen E-Bazar sejak pandemik melanda iaitu E-Bazar Raya 2020, Jualan Mega E-Bazar 11.11, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 di sini, hari ini.

Yong berkata melalui pelaburan keseluruhan oleh Kerajaan Negeri berupa baucar bernilai RM7 juta, empat kempen itu telah menjana jualan langsung bernilai RM144.7 juta, mencipta kesan riak ekonomi sebanyak RM2.95 bilion kepada ekonomi negeri berkenaan.

Menurutnya sebanyak 294,119 penjual termasuk 74,837 peniaga baharu telah meraih manfaat daripada kempen itu.

Selain kempen E-Bazar, Yong berkata kerajaan negeri terus memajukan PKS dengan melancarkan Geran Sepadan Pendigitalan PKS Selangor pada April 2021 semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

“Daripada 1,500 PKS di Selangor yang memohon geran itu, sebanyak 1,048 PKS adalah layak.

“Sejumlah RM5 juta telah disalurkan untuk meliputi lima bidang pendigitalan, iaitu pengkomputeran awan, sistem e-bayaran, pengurusan sumber manusia dan gaji, pemasaran digital, dan sistem e-dagang,” katanya.

Yong menggalakkan semua PKS dan syarikat pemula niaga yang mahu meningkatkan perniagaan mereka untuk memberi tumpuan kepada Sasaran Neutral Karbon yang akan turut membantu mereka mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

SDEC 2021 dianjurkan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) bermula 18 hingga 21 Nov.

Konvensyen hibrid selama dua hari itu menampilkan 45 penceramah yang akan membincangkan pelbagai tajuk seperti teknologi kewangan, pemasaran digital, dan pendigitalan PKS.

– BERNAMA


Pengarang :