Kakitangan LUAS meletakkan beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skuad Pantas LUAS cegah 23 insiden henti tugas loji rawatan air

HULU LANGAT, 20 NOV: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang ditubuhkan pada Disember tahun lalu berjaya mengelakkan henti tugas loji rawatan air membabitkan 23 kejadian pencemaran.

Pengarahnya Hasrolnizam Shaari berkata kejayaan yang direkodkan sehingga 9 November lalu itu memastikan pengguna dapat terus menikmati bekalan air susulan pencegahan segera diambil.

Menurutnya skuad Pantas LUAS dianggotai 24 kakitangan yang melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari di kawasan sensitif dalam menangani masalah pencemaran sumber air mentah.

Jelas Hasrolnizam, sebelum ini pasukan pemantau hanya akan pergi ke kawasan pencemaran apabila menerima aduan dan mengambil masa untuk sampai ke destinasi kerana ditempatkan di stesen di Shah Alam.

“Sekarang bila letak kakitangan di lapangan, ujian untuk memastikan kualiti air dapat dilakukan pada masa sebenar dan bantu mengenal pasti punca serta ambil langkah pencegahan.

“Langkah pencegahan bersama agensi lain ini dapat mengelakkan penutupan loji air dan pastikan pengguna dapat bekalan,” katanya di Kampung Batu 13, Hulu Langat.

Beliau ditemui pada program Sungai Sekamat-River Plogging yang dirasmikan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.

Skuad Pantas LUAS ditubuh pada 1 Disember tahun lalu yang akan memantau
24 jam setiap hari di kawasan sensitif dalam menangani masalah pencemaran sumber air mentah.

Skuad berkenaan akan memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji rawatan air.

Penubuhannya selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021.


Pengarang :