Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam temu bual eksklusif bersama Bernama sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 7 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

MELAKA, 7 NOV: Tiada halangan bagi calon yang positif Covid-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

“Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan,” katanya kepada Bernama di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR turut menempatkan khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

“Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR. Di pintu utama pusat penamaan calon, calon akan diperiksa saringan suhu badan, sekiranya suhu direkodkan melebihi 37.5 darjah Celcius, mereka akan dihantar ke khemah bergejala ini,” kata Abdul Ghani.

Beliau berkata segala proses semakan dan penyerahan borang penamaan calon akan diuruskan oleh pegawai SPR yang bertugas di khemah untuk mereka yang bergejala itu.

Katanya, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, polis dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.

“Kita berharap semua penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak berkumpul serta berarak di kawasan pusat penamaan dan sentiasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :