Sukarelawan Team Selangor membantu mangsa banjir di Hulu Langat pada 23 November 2021. Foto ihsan Team Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sukarelawan Team Selangor bantu bersih rumah mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 23 NOV: Seramai 50 sukarelawan Team Selangor terlibat dalam membantu mangsa banjir di Lembah Permai, Ampang dan Dusun Tua, Hulu Langat, hari ini.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata kerja membersihkan rumah mangsa yang terlibat di dua-dua kawasan itu dilakukan pada jam 10 pagi tadi.

“Seramai 40 sukarelawan di Lembah Permai dan 10 sukarelawan lagi di Dusun Tua. Mereka ini terlibat dengan kerja-kerja pembersihan.

“Setakat ini cabaran yang perlu kita hadapi adalah lumpur kerana terlalu tebal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Seramai 50 sukarelawan Team Selangor digerak membantu membersihkan rumah mangsa banjir. FOTO IHSAN TEAM SELANGOR

Sementara itu, beliau berkata selepas ini pihaknya bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengadakan kursus persediaan pengendalian bencana di lokasi yang berisiko.

Katanya, kursus yang melibatkan penduduk itu juga akan dibuat pada Disember ini bagi memberi persediaan awal kepada mereka yang terlibat.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar menggerakkan beberapa agensi bagi membantu mangsa banjir kilat di sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihak berkuasa tempatan, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN akan memberi bantuan kecemasan serta membantu proses perpindahan manakala Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu kerja pembersihan.

 

 


Pengarang :