Tan Sri JJ Raj (Jr) (kiri) menghadiri Istiadat Hari Keputeraan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Alam Shah, Klang. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri zahir takziah pemergian hero Bukit Kepong

SHAH ALAM, 7 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri JJ Raj (Jr) yang meninggal dunia semalam.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut berdukacita atas pemergian pesara polis berusia 100 tahun itu akibat masalah jantung.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, mendiang pernah berkhidmat sebagai ketua polis Selangor pada 1973 selain rapat dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

“Pernah menjawat pelbagai jawatan tertinggi semasa berkhidmat dengan polis, mendiang diingati sebagai hero apabila mengetuai Skuad Harimau ketika menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong semasa tragedi serangan komunis pada 1950,” katanya.

Tan Sri JJ Raj (Jr) (kiri) ketika memegang jawatan ketua polis Selangor bersama Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sekitar tahun 1970an. Foto Facebook Selangor Royal Office

Atas jasa dan baktinya, Almarhum Sultan Salahuddin turut mengurniakan gelaran Dato’ Sri Sentosa Setia Diraja kepada mendiang pada 1980, menurut kenyataan tersebut.

Mendiang yang lahir pada 27 Julai 1921 dilapor meninggal dunia pada jam 1.55 pagi semalam di unit rawatan rapi Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya.

JJ Raj mendapat pendidikan awal di Sekolah St Michael’s Institution di Ipoh, Perak sebelum berkahwin dengan Puan Sri Irene Raj pada 1952 dan dikurniakan empat anak serta tiga cucu.

Beliau menyertai polis sebagai inspektor pelatih pada 1946 dan menjadi ketua polis Pagoh pada 1950 semasa tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong.

Beberapa jawatan penting disandang mendiang antaranya ketua polis Tangkak (1952), ketua polis Kuala Lumpur (1958), ketua polis Pahang (1961), ketua polis Negeri Sembilan (1967) dan pengarah pengurusan Bukit Aman pada 1974.

Beliau mempunyai rekod cemerlang dan berkhidmat dengan jayanya selama 30 tahun.


Pengarang :