Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Syarat pinjam Hijrah dilonggar, golongan terkesan perlu ambil peluang niaga

SHAH ALAM, 28 NOV: Pemansuhan syarat peminjam skim Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) perlu ada 25 peratus daripada jumlah pinjaman dalam akaun membuka peluang lebih ramai menceburi perniagaan.

Wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin berkata rakyat negeri ini terutama yang terkesan akibat Covid-19 perlu menggunakan peluang tersebut bagi memulakan kehidupan baharu.

“Pengumuman pemansuhan syarat pinjaman Hijrah Belanjawan #Selangor2022 adalah langkah tepat. Ini bukti Kerajaan Selangor amat peduli nasib rakyat terutama ketika era pandemik.

“Saya minta penduduk Selangor menggunakan peluang ini untuk memohon pinjaman Hijrah bagi memulakan perniagaan,” katanya kepada SelangorKini.

Rozana yakin dengan pemansuhan itu mampu menarik ramai individu menggunakan platform pinjaman Hijrah pada masa akan datang.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 mengumumkan tujuh penambahbaikan dalam skim Hijrah dengan salah satu daripadanya adalah membatalkan syarat wajib peminjam mempunyai 25 peratus dari jumlah pinjaman dalam akaun.

Penambahbaikan lan yang akan dilaksanakan adalah:

  •  Peruntukan RM120 juta bagi pembiayaan kepada usahawan
  •  Skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi meningkatkan perniagaan ke tahap Industri Kecil Sederhana dengan tawaran pembiayaan sehingga RM100,000. Sasaran awal pembiayaan melibatkan RM10 juta
  • Mewujudkan skim pembiayaan i-AGRO yang memberi fokus kepada 2,000 usahawan tani dengan jumlah pembiayaan maksimum RM26,000. Sasaran pelaksanaan skim berjumlah RM52 juta
  • Mewujudkan Dataran Hijrah yang menjadi pusat perniagaan berpusat untuk semua perkhidmatan
  •  Meningkatkan jumlah minimum pinjaman dari RM5,000 ke RM10,000 bagi program Zero-to-Hero
  • Mengurangkan caj pengurusan peminjam dari lapan peratus kepada empat peratus untuk pinjaman RM 30,000 ke bawah.

Pengarang :