EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki (kanan) melancarkan talian khas aduan keganasan rumah tangga SELamat di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Talian SELamat: Tujuh aduan keganasan rumah tangga dirujuk kaunselor

SHAH ALAM, 24 NOV: Talian khas SELamat sudah menerima tujuh aduan berkait keganasan rumah tangga sejak mula beroperasi awal bulan ini.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata semua kes yang diterima kini dirujuk kepada kaunselor, pejabat bantuan guaman Selangor dan pihak polis.

“Beberapa kes dirujuk kepada kaunselor kerana penting bagi kita untuk memastikan pemanggil dibantu dengan menerima bantuan sewajarnya.

“Secara keseluruhan, sejak beroperasi 14 panggilan diterima yang mana selebihnya pertanyaan umum melibatkan agensi kerajaan, vaksin dan operasi talian,”kata kata Siti Kamariah Ahmad Subki.

Pada 16 November lalu, empat daripada 10 aduan diterima melalui talian khas SELamat membabitkan keganasan rumah tangga termasuk satu kes penderaan kanak-kanak.

Talian SELamat yang dibangunkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga beroperasi sejak 3 November lalu dengan menghubungi talian 03-64195027.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut, sebahagian Pakej Kita Selangor 2.0.

Talian berkenaan yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan WBS bersama kumpulan sukarelawan.

Pada 30 Ogos, Kerajaan Negeri turut melancarkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) bagi membantu orang ramai meluahkan tekanan yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik.


Pengarang :