Dunia kini berubah ke arah pendigitalan dan peralihan masyarakat tanpa tunai. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Tambah baik agenda pendigitalan, cipta peluang ekonomi belia

SHAH ALAM, 25 NOV: Agenda pendigitalan perlu diperhalusi dan ditambah baik bagi memastikan ekonomi anak muda dapat dikembangkan, kata wakil rakyat Kota Anggerik.

Langkah itu berikutan dunia bergerak pantas dan golongan tersebut bakal tercicir jika masih berfikir dalam kerangka modal ekonomi lama, tegas Najwan Halimi.

“Belanjawan lepas mengumumkan agenda pendigitalan dan kita perlu lihat semula aspek untuk ditambah baik kerana Smart Selangor ramai nampak naik taraf infrastruktur dan perkhidmatan seperti parkir.

Najwan Halimi bercakap kepada media selepas melawat Program Ujian Antigen RTK Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ia bukan sekadar perkhidmatan untuk pihak berkuasa tempatan dan negeri sahaja tetapi perlu dikembangkan dari sudut menambah baik ekonomi anak muda,” katanya dalam bual bicara Media Selangor.

Najwan juga berharap Kerajaan Negeri menawarkan inisiatif untuk membantu anak muda dengan lebih berkesan berbanding bantuan bersifat sekali bayar yang kurang memberi dampak.

“Kita perlu beri bimbingan seperti Sitham (Pembangunan Usahawan India Selangor) dan kembangkannya merentasi kaum dengan membantu semua anak muda tidak kira di bandar atau desa,” katanya.

Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentang di Dewan Negeri Selangor esok menumpukan usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pascapandemik.

Turut ditekankan ialah menambah hasil dan bantuan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Pembentangan boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.


Pengarang :