Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tanpa pengalaman, edisi pertama Pameran Udara Selangor dianggap berjaya

SUBANG, 27 NOV: Edisi pertama Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 dianggap berjaya meskipun tiada pengalaman menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seumpama itu.

EXCO pelaburan berkata penganjuran berskala kecil selama tiga hari di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark di sini mampu dibanggakan di sebalik kekangan pandemik Covid-19.

Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan 12 memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara pemain industri tempatan dan antarabangsa dengan nilai tertinggi RM100 juta pada program itu.

“Pencapaian ini sudah tentu membanggakan kita, malah sambutan dan maklum balas daripada pempamer serta pengunjung amat positif.

“Mereka juga mengakui SAS kali ini mencapai tahap antarabangsa sebenar,” katanya ditemui pemberita selepas majlis penutup SAS 2021 yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris.

Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Chang Khim berkata seramai 3,785 pengunjung menyertai pameran berkenaan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Beliau yakin sasaran 5,000 pelawat mampu dicapai sebelum menutup tirai secara rasmi pada jam 3 petang.

“Kita percaya jumlah sasaran ini dapat dicapai memandangkan masih ramai pelawat yang sedang menunggu di ruang disediakan sebelum menunggu slot untuk masuk,” katanya.

Bertemakan ‘Selangor, the ASEAN Business & General Aviation Hub’, SAS 2021 menerima penyertaan 43 syarikat tempatan dan antarabangsa.

Acara tersebut turut menampilkan pemain industri terkemuka seperti Aerodyne Geospatial Sdn Bhd, Turkish Aerospace Industry dan Global Turbine Asia Sdn Bhd.

Antara pesawat dipamerkan ialah Embraer, Gokbey, Piaggio Avanti, Beechcraft King Air, Cessna 206 dan Bell 407GX.


Pengarang :