Team Selangor turut serta mengutip sampah ketika Program Batik Plogging (Pembersihan Pantai) di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat pada 31 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Team Selangor gerak 40 sukarelawan, program bersih pantai capai sasaran

TANJUNG SEPAT, 1 NOV: Program Batik Plogging (pembersihan pantai) di Pantai Batu Laut semalam mencapai sasaran apabila berjaya mengutip 468.6 kilogram (kg) sampah.

Pegawai Komuniti Team Selangor Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat Muhd Aslah Azmi berkata seramai 40 sukarelawan pasukan itu terlibat dalam program kutipan sampah seperti pelitup muka, botol plastik, bungkusan makanan dan tayar.

“Biarpun hujan ketika program berlangsung semua yang terlibat tetap bertungkus lumus mengutip sampah di tepi pantai.

Pegawai Komuniti Team Selangor DUN Tanjung Sepat Muhd Aslah Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Secara keseluruhan peserta terlibat memuaskan iaitu lebih 150 individu termasuk sukarelawan Team Selangor,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Program Batik Plogging dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tanjung Sepat, Team Selangor dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat Zon 23 Rahiman Harun.

Ia turut disertai Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad; Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Selain pembersihan pantai turut dianjurkan acara zumba, pertandingan pakaian terbaik dan konvoi motosikal besar.

Menerusi program ini, kumpulan orang kenamaan (VIP) diketuai Masdiana dinobat sebagai juara apabila berjaya mengutip sampah seberat 88.3kg, sementara kumpulan oren di tempat kedua iaitu 80kg manakala ketiga kumpulan kuning dengan kutipan 75.8kg.


Pengarang :