Universiti Selangor (Unisel)
AGENDANASIONAL

Tubuh Kursi Siddiq Fadzil hargai jasa cendiakawan Islam

SHAH ALAM, 26 NOV: Kursi Siddiq Fadzil ditubuhkan di Universiti Selangor (Unisel) bagi memperingati ketokohan Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang berpengaruh dalam bidang akademik dan kebudayaan Melayu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan kursi itu melibatkan peruntukan RM1 juta bagi menggalakkan wacana keharmonian dan kesederhanaan.

“Tahun ini kita kehilangan Almarhum Dr Siddiq Fadzil, seorang cendekiawan Melayu Muslim yang tersohor dalam mempopularkan kerangka maqasid dan fiqh Malaysia.

“Justeru, Kerajaan Negeri berbesar hati menubuhkan Kursi Siddiq Fadzil di Unisel bagi menggalakkan wacana keharmonian serta kesederhanaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selain itu, Amirudin berkata Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) yang ditubuhkan pada Jun lalu menjadi badan penasihat khusus berkaitan isu perpaduan dan pemantau utama pelaksanaan Dasar Perpaduan serta Pelan Tindakan Negeri Selangor.

“MPIS juga akan menjalankan program advokasi, kempen dan menjalankan kerjasama bersama agensi kerajaan serta NGO dalam usaha untuk menerapkan agenda perpaduan di Selangor. Untuk maksud itu RM400,000 akan diperuntukkan,” katanya.


Pengarang :