AGENDANASIONALSELANGOR

Tubuh Kursi Siddiq Fadzil komitmen Selangor cerdaskan rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Penubuhan Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengangkat ketokohan dan sumbangan Allahyarham Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil.

Pengarah eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) berkata pihaknya sebagai badan penyelidik dan penggerak misi pencerdasan masyarakat amat menghargai usaha terbabit sebagai suatu pengiktirafan terhadap tokoh ilmuan itu.

“IDE akan bekerjasama dengan Unisel untuk menjayakan objektif penubuhan kursi ini agar wacana berkaitan keharmonian, kesederhanaan dan pengukuhan nilai seperti yang digagaskan Allahyarham Siddiq Fadzil dapat direalisasikan serta disuburkan dalam masyarakat,” kata Dato’ Ismail Yusop dalam kenyataan semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam mengumumkan penubuhan Kursi Siddiq Fadzil Unisel dengan peruntukan RM1 juta bagi menggalakkan wacana keharmonian serta kesederhanaan.

Allahyarham meninggal dunia pada 31 Ogos merupakan pengerusi IDE dan profesor adjung Unisel. Beliau seorang cendekiawan Melayu Muslim serta ilmuwan rakyat yang kaya dengan idea segar dengan misi pencerdasan, pencerahan dan pemberdayaan umat.

Siddiq Fadzil mempopularkan gagasan konsep Maqasid Shariah dan “Fiqh Maliziy” atau Fiqh Malaysia dalam dakwah, polisi dan kerangka pembangunan negara serta mengungkap konsep “Hidup Bersama Dalam Budaya Damai”, “Kepelbagaian Dalam Bingkai Kesatuan” sebagai solusi untuk memperkukuhkan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia berteraskan nilai agama Islam dan budaya lokal.

Malah beliau turut mencadangkan konsep “Peace Education” atau Pendidikan Damai sebagai teras mendidik masyarakat dari peringkat akar umbi dan selalu mengungkap pandangan ilmuwan kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Dr Ar-Raisyuni dan bahkan turun menyantuni ulama rantau ini seperti Hamka dan Bapak Muhammad Natsir.

Siddiq Fadzil sentiasa menekankan untuk tidak hanya berkiblatkan ilmuwan barat tetapi wajar untuk kita memahami kearifan lokal yang kaya dengan tokoh ilmuwan tersendiri.


Pengarang :