Sebuah pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth yang mengorbankan seorang juruterbang pada malam 16 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TUDM tubuh jawatankuasa siasat nahas pesawat pejuang

PETALING JAYA, 17 NOV: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat nahas pesawat pejuang Hawk 108 yang terhempas di Pangkalan Udara Butterworth TUDM malam tadi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata siasatan akan dilakukan dalam pelbagai aspek termasuk operasi dan latihan.

Bagaimanapun beliau berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan menggantung penggunaan pesawat jenis berkenaan semasa siasatan.

Ikmal Hisham berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 15,000 kotak makanan daripada badan bukan kerajaan Bantu-Bantu Malaysia di Pangkalan Udara Subang, dekat sini.

Nahas pesawat pejuang Hawk 108 pada kira-kira pukul 10.07 malam tadi mengakibatkan juruterbang TUDM Kapten Mohamad Affendi Bustamy maut, manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera.

Mohd Fareez sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

-BERNAMA


Pengarang :