Poster pencarian Ikon Agro Selangor 2021 yang dikongsi di Facebook Ir Izham Hashim
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Undian video bantu tentukan pemenang Ikon Agro Selangor

SHAH ALAM, 7 NOV: Lapan calon Ikon Agro Selangor 2021 menjalani penggambaran video di premis masing-masing sejak 1 November sebagai salah satu proses pertandingan.

Sesi rakaman selama dua minggu berjalan lancar sebelum video ditayangkan di Facebook dan YouTube Agro Selangor untuk pengundian, kata EXCO pemodenan pertanian.

“Sebanyak 30 peratus markah undian dinilai berdasarkan jumlah tanda suka dan tontonan,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi hari ini.

Lapan usahawan agro disenarai pendek adalah Muhammad Fathullah Janal (penternakan), Sri Sutesh Chelladurai (tanaman)dan She Cheng Siang (tanaman).

Selain itu, Siti Nurul Aisyah Zakariah (akuakultur), Chia Boon San (agropelancongan), Cheng Poh Guat (tanaman), Hasbullah (ternakan) dan Affendi Zainuddin (tanaman).

Edisi kedua penganjuran menawarkan wang tunai RM10,000, bantuan kelengkapan pertanian dan sijil.

Peserta dinilai mengikut penggunaan teknologi moden dan pengeluaran hasil yang menyumbang 70 peratus markah manakala baki ditentukan menerusi undian video di YouTube.

Ikon Agro Selangor berperanan sebagai duta kecil untuk sektor pertanian di negeri ini serta membimbing usahawan tani yang baharu berkecimpung.

Jawatankuasa pertanian negeri turut memantau Ikon Agro Selangor selama dua tahun bagi memastikan mereka konsisten menjadi penyumbang bekalan makanan dalam tempoh jangka panjang.


Pengarang :