Dr Siti Mariah Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki (kanan) melancarkan talian khas aduan keganasan rumah tangga SELamat di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Urusan rawatan psikiatri dipercepat, sokong individu alami tekanan

SHAH ALAM, 28 NOV: Orang ramai yang meluahkan tekanan menerusi program Selangor Mental Sihat (Sehat) akan dirujuk kepada pakar psikiatri dengan segera mulai tahun depan.

EXCO kesihatan berkata langkah itu antara penambahbaikan program SEHAT selepas sektor kesihatan negeri ini menerima peruntukan Belanjawan #Selangor2022 berjumlah RM65 juta.

“Kita sudah ada pelbagai program mendidik rakyat untuk menjaga kesihatan mental menerusi talian Sehat, ada dalam kalangan mereka yang menghubungi memerlukan rawatan atau terapi dengan pakar psikiatri.

“Jadi tahun depan, InsyAllah ada mekanisme yang mana kita akan berhubung terus dan mereka mereka tanpa perlu janji temu yang lama akan dirujuk kepada pakar, kita perlu sokong mereka,” kata Dr Siti Mariah Mahmud kepada SelangorKini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 berkata peruntukan bagi sektor kesihatan awam meningkat kepada RM65 juta pada 2022 berbanding RM56.5 juta pada tahun sebelumnya.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, peningkatan sebanyak RM8.5 juta itu selaras dengan agenda Kerajaan Negeri yang mengutamakan kesihatan rakyat.

Pada 30 Ogos Kerajaan Negeri melancarkan fungsi SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik melanda negara.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :