Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Skim Baharu Hijrah Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 27 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Usaha pulih ekonomi diteruskan dalam Belanjawan #Selangor2022

SHAH ALAM, 24 NOV: Usaha memulihkan ekonomi rakyat negeri ini akan diteruskan dalam Belanjawan #Selangor2022 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbelanjaan bernilai RM2.323 bilion melalui Belanjawan Selangor 2021 dan RM627.437 juta dalam dua siri Pakej Kita Selangor membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, refleksi ekonomi ditonjolkan sepanjang tahun ini membuktikan kestabilan dan kecekalan Kerajaan Negeri berkhidmat demi rakyat.

“Di sebalik krisis kesihatan global, Belanjawan Selangor 2021 berjaya menyeimbangkan keperluan rakyat, komuniti perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Menerusi lima strategi utama dikepalai agenda digitalisasi, Kerajaan Negeri telah meminimumkan kesan teruk pandemik yang terbukti dengan kutipan hasil mencecah RM2 bilion setakat ini,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata peruntukan disalurkan melalui dua Pakej Kita Selangor masing-masing pada 20 Januari dan 9 Jun lalu berjaya menampan dampak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Jelas Amirudin, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan program Vaksin Selangor (Selvax) bagi meningkatkan kadar suntikan pelalian dalam kalangan rakyat Selangor.

“Strategi ini bukan sahaja mengurangkan beban hospital malah meningkatkan aktiviti ekonomi serta keyakinan pelabur,” katanya.

Pembentangan Belanjawan #Selangor2022 boleh diikuti secara langsung melalui saluran SelangorTV (selangortv.my) dan menerusi media sosial https://www.facebook.com/MediaSelangor

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan http://selangorjournal.my 

 


Pengarang :