Selangorkini
Eksekutif Pembangunan Perniagaan Seldec Muhamad Alif Yahya ditemu bual ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 19 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usahawan digesa sertai Seldec, bantu pasarkan produk secara digital

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Usahawan pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 disaran tidak melepaskan peluang menyertai program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec).

Eksekutif pembangunan perniagaan Seldec berkata platform tersebut merupakan medium pemasaran dalam mempromosikan produk usahawan secara digital.

“Antara tawaran program tersebut kepada usahawan ialah komisen hanya lapan peratus sahaja berbanding di luar agak tinggi dan perkhidmatan logistik percuma kepada vendor.

“Kita dapati masih terdapat usahawan di SIBS 2021 belum menyertainya dan berharap mereka mengambil peluang untuk hadir ke gerai pameran Seldec,” kata Muhamad Alif Yahya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini lebih 10,000 produk melibatkan 5,000 vendor sudah menyertai Seldec sejak dilancarkan pada Oktober 2019.

“Permohonan untuk menyertai program ini mudah iaitu memerlukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penyata bank sahaja.

“Usahawan yang ingin memohon atau mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Seldec di https://marketplace.seldec.my ,” katanya.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelancaran Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.


Pengarang :