Seorang remaja menerima suntikan pelalian Covid-19 menerusi program Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Vaksin negeri manfaatkan remaja, individu tercicir untuk suntikan

SHAH ALAM, 3 NOV: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Remaja di klinik panel Selcare seluruh negeri memudahkan lebih ramai individu mendapat suntikan.

Inisiatif tersebut memanfaatkan remaja 12 hingga 17 tahun, warga asing dan individu yang belum mendapat janji temu atau terlepas slot dos kedua Selvax.

Seorang doktor di Klinik Selcare Seksyen 13 di sini berkata sekitar 20 individu menerima vaksin di situ dalam tempoh dua hari sejak kelmarin dengan proses suntikan berjalan lancar.

“Ramai ibu bapa memilih vaksin negeri untuk anak mereka, mungkin mereka lebih yakin. Sebenarnya semua vaksin mampu melawan Covid-19, terserah kepada mereka membuat pilihan,” kata Dr Muhammad Azlan Mohd Amin ketika ditemui hari ini.

Dr Muhammad Azlan Mohd Amin bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan Selvax Komuniti di Klinik Selcare, Seksyen 13 Shah Alam pada 3 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program Selvax Komuniti diteruskan di klinik panel Selcare di negeri ini dan Perak bermula Isnin bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada mendapatkan vaksin Covid-19.

Program melibatkan lokasi di Kajang, Batang Kali, Kuala Selangor, Sungai Besar, Ampang, Bandar Mahkota Cheras, Bukit Changgang, Puchong, Gombak dan Tanjung Malim, Perak.

Orang ramai yang ingin mendapatkan pelalian perlu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan masukkan kod baucar yang betul.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.


Pengarang :