Dr G Gunarajah bercakap kepada media ketika majlis rumah terbuka ADN Sentosa sempena Deepavali di Bandar Country Homes, Rawang pada 4 November 2021. HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Sentosa agih 1,500 bakul makanan sempena Deepavali

RAWANG, 4 NOV: Sebanyak 1,500 bakul makanan diagih kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dr G Gunaraj berkata agihan bakul makanan berupa kelengkapan perayaan itu dilakukan sejak tiga minggu lalu.

“Selain itu kita juga melancarkan Program Jelajah Sentosa bersama beberapa kuil untuk memberi bantuan.

“Turut diadakan Ziarah Kasih iaitu melawat keluarga kurang berkemampuan seperti kehilangan suami dan mengalami masalah kesihatan,” katanya ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di sini hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ditemani isteri Datin Seri Masdiana Muhammad tiba kira-kira jam 11 pagi ke kediaman Gunaraj dan meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra bersama tetamu serta menikmati juadah seperti nasi beriyani dan tosai.

Turut hadir Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.


Pengarang :