BERITA UTAMASELANGOR

Wanita Selangor bertuah dapat tingkat tahap pendidikan

SHAH ALAM, 29 NOV: Wanita di Selangor dianggap bertuah kerana diberi ruang untuk meningkatkan tahap pendidikan melalui Program Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Pengarah Operasi BaitulJannah Wan Nuradila Huda Wan Zaidon berkata biasiswa khas RM200,000 setahun seperti diumum dalam Belanjawan Selangor 2022 mampu membina kerjaya wanita dengan lebih baik.

“Ia satu peluang harus direbut kerana program ini sememangnya menggerakkan wanita. Tahap pendidikan yang baik memberi peluang buat mereka membina karier dan asas kendiri,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, wanita juga disaran merebut kekosongan kepimpinan politik atau jawatan tertinggi sesebuah organisasi secara sihat mengikut kelayakan dan keupayaan menggalas tanggungjawab terbabit.

“Wanita harus siap siaga menghadapi tugas sebagai pemimpin melalui ilmu, pengalaman dan corak kepimpinan yang baik sekiranya mahu negeri atau organisasi di negeri ini bertambah maju ke depan,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat akan diperkenal di bawah Wanita Berdaya Selangor dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menyediakan biasiswa kepada wanita terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang.

Biasiswa tersebut dilaksana dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan.


Pengarang :