Warga Indonesia Imam Taufiq mendapatkan suntikan pelalian dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah, Selayang pada 14 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Warga asing takut jarum hadir terima vaksin selepas dipujuk rakan

SELAYANG, 15 NOV: Takut jarum menjadi punca seorang warga Indonesia melengah-lengahkan pengambilan vaksin Covid-19 walaupun berdepan risiko jangkitan.

Bagaimanapun selepas dipujuk rakan, Imam Tauhiq, 27, berasal dari Medan memberanikan diri hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer semalam.

“Saya takut dicucuk jarum selain tidak tahu cara nak daftar (ambil vaksin). Tapi Sri Wahyuni (rakan) selalu pujuk bagi tahu kebaikan suntikan ini.

“Bila tahu ada program berhampiran rumah dalam 200 meter sahaja, dia tolong daftarkan. Dia juga teman masa proses suntikan tadi,” katanya ditemui di Dewan Orang Ramai Kampung Selayang Indah di sini.

Wan Azuhri Wan Ibnul Bahar. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pekerja swasta Wan Azuhri Wan Ibnul Bahar, 30, bersyukur menerima pelalian selepas lebih enam bulan menunggu tarikh janji temu MySejahtera.

“Ada masalah teknikal (MySejahtera) jadi sehingga sekarang masih tak dipanggil. Bila tahu Selvax Remaja terima siapa sahaja terus saya datang.

“Selepas lengkap dos nanti saya lebih bebas. Selama ini saya bekerja di rumah jadi memang jarang keluar,” katanya.

Sementara itu seorang guru Hasliza Ibrahim, 43, membawa dua anak berusia 12 dan 15 tahun mendapatkan vaksinasi masing-masing.

Hasliza Ibrahim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sekolah ada buat tetapi ketika itu kami ada urusan di Perlis. Jadi anak terlepas vaksinasi.

“Saya dah mohon di MySejahtera tetapi mungkin lambat. Hari ini terus datang bawa mereka,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan serta mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini diikuti Selvax bergerak yang tamat 17 Oktober.

Inisiatif kepada penerima berusia 12 hingga 17 tahun menerusi Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program membabitkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.


Pengarang :